KUALA NERANG 2 OKTOBER 2017 - Mangsa banjir di beberapa kampung sekitar Padang Terap sejak Jumaat kini mula membersihkan rumah mereka selepas air banjir semakin surut.

Normah Abd Rahman, 32, dari Kampung Kubang Juluk berkata, dia dan keluarganya lega selepas air yang memasuki rumahnya sejak Jumaat lalu sudah semakin surut dan mengambil kesempatan itu untuk membersihkannya.

Menurutnya, semenjak air banjir masuk ke rumahnya kira-kira jam 5.30 pagi kelmarin menyebabkan rumahnya berbau busuk dan meninggalkan bekas lumpur di dinding rumahnya itu.

"Saya ambil untuk bersihkan rumah secepat mungkin sebab kalau tangguh takut susah nak bersihkan lagi.

"Air mula surut pada 6 petang semalam dan saya sekeluarga periksa dulu sekeliling rumah bimbang kalau ada binatang berbisa turut masuk ke dalam rumah kami," katanya.

Normah berkata, mereka sekeluarga mula mencuci seluruh ruang tamu dan dapur serta membasuh perabot yang tidak sempat dibawa naik ke atas rumah.

"Saya harap banjir ini kali terakhir tahun ini dan tak akan berulang lagi," katanya.

Siti Nor Jannah Che Ngah, 34, pula berkata, dia sekeluarga bergotong-royong bagi membersihkan rumahnya yang tenggelam hampir 0.5 meter akibat banjir baru-baru ini.

Menurutnya, peralatan dapur dan tikar terpaksa dibasuhnya semula kerana tidak sempat diselamatkan akibat aliran air sungai yang deras pada malam kejadian banjir itu.

"Kali terakhir kami berdepan masalah banjir pada 2010 dan bimbang gelombang kedua berlaku sekali lagi.

"Kami tak akan turunkan peralatan elektrik dan perabot yang diletakkan tempat tinggi untuk elak dari rosak kalau berlakunya banjir sekali lagi," katanya.

Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Padang Terap, Leftenan Roshidi Kassim (PA) berkata, paras air di Sungai Padang Terap semakin surut tetapi itu bergantung kepada keadaan cuaca yang tidak menentu sejak akhir ini.

“Oleh itu saya menasihatkan penduduk di Padang Terap ini supaya menjaga keselamatan anak-anak mereka terutamanya yang tinggal di pinggir sungai bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

"Walaupun air semakin surut tetapi arus sungai masih lagi kuat dan boleh membahayakan kepada mereka yang menangkap ikan.

"Saya menasihatkan jika berlakunya peningkatan paras air semula mereka boleh menghubungi APM ditalian 04-7864991 supaya kerja menyelamat dapat dilakukan,” katanya kepada Sinar Harian.